Warkah Buat Bakal Suami..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Assolatuwassalam, selawat dan salam buat junjungan mulia, Muhammad S.A.W Kekasih Istimewa…
Salam
Sejahtera buat bakal suamiku, moga Allah sentiasa merahmati dan
memberkati dirimu yang tidak pernah kutemui, namun doaku tidak pernah
putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…
“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah,”
Ku
mulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah S.A.W
kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya
ini… Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah
wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang
bakal dibina tika sampai saat itu, InsyaAllah.
Calon zaujku,
“Dinikahi
seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya,
kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka
beruntunglah kedua-dua tanganmu…”
Telah dinukilkan panduan
sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap
baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini.
Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta
di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh umi
dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab kita
nanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa kau akan menikmati sedikit
kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan yang
mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata …
“Dan
di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu
isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa
tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨
(Ar-Rum: 21)
Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan,
ketahuilah jua aku hanyalah insan biasa di dunia ini. Umi dan abah telah
menitipkan aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku.
Namun apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam
A.S dan bonda Hawa A.S, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz sahih
ini denganmu …
“…maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya
Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong
kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia
mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah
(menetapkan demikian)? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang
yang beriman itu berserah diri…” (Ali Imran : 159-160)
Kecantikan,
itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau
juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan
itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah.
Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu.
Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada
tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau
menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata.
Aku tidak
menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti, kerana aku
memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini,
dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah
markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya
yang agung. Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita jadikan
pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku
masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah
dibekalkan ini, aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat
keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim
antara aku, kau dan anak-anak kita untuk dibaiahkan dengan ketaatan
kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping
solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul,
“Semoga Allah
memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia
sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga
bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah
memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu
bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia
merenjiskan air kemukanya.” (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)
Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan dan jodoh.
“Hai
sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan
kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya;
dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan
yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan)
namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan
silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An
Nisaa’ : 1)
Calon Suamiku yang dirahmati,
“Kaum lelaki
itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan
sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan
kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta
mereka”.(An-Nissa’:34)
Membenarkan seperti apa yang telah Dia
katakan dalam QalamNya yang mulia, aku meyakini bahawa engkau adalah
pemimpin untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir.
Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya
untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan
sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa
didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. Lakukanlah tanggungjawabmu itu
dengan syurga kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah
satu daripada jemaah saf menuju ke syurga InsyaAllah…
Ingin aku
berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Kau terlalu membimbangkan akan
kehendak bersifat duniawi semata-mata. Benar? Ketahuilah, aku tidak
menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan
hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar
agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, kerana
aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtangga kita dalam meraih
keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. Bantulah aku
dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah
laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, InsyaAllah.
Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu,
itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.
Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa
Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya
berada di dalam udara Qana’ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha
dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna’im. Lihatlah
rumahtangga Rasulullah S.A.W, kadang-kadang berlalu sebulan demi
sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan
yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah
S.A.W tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok
bandingnya hingga ke hari ini.
Terlalu panjang rasanya aku
mencoretkan warkah ini. Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku
akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir
bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah
merindu daripada jemu tatkala kita disatukan.
Wassalam
Dari,
Tulang rusuk kirimu.
Pertemuan…
menghadiahkan kita kasih sayang… jika cinta satu pasti bertemu… ia
tidak ternilai… kerana antara hati kita telah tiada antaranya lagi yg
ada hanyalah cinta kasih Ilahi… kita berpisah hanya sementara kerna
pertemuan bukan milik kita… jasad dan suara berjauhan sentiasa namun
cinta abadi… biar berpisah selalu menderita kerana syurga menagih ujian
sedang neraka dipagari oleh nikmat bertemu tidak jemu… berpisah tak
gelisah…
Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu …
copypaste:http://ummuayman.wordpress.com/2009/11/26/warkah-cinta-buat-bakal-suamiku/
Wednesday, May 23, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment