Friday, May 21, 2010

.:. Hapuslah Air Mata di Pipi, Hilangkan Lara di Hati .:.





Kegelisahan, kedukaan dan airmata adalah sebahagian dari sketsa hidup di dunia. Titisan airmata yang bermuara dari hati dan berselaputkan kegelisahan jiwa terkadang memilukan, hingga membuat keresahan dan kebimbangan.

Kedukaan kerana kerinduan yang teramat sangat dalam menyebabkan kepedihan yang menyesakkan rongga dada. Jiwa yang rapuh pun berkisah pada alam serta isinya, bertanya, dimanakah pasangan jiwa berada. Lalu, hati menciptakan serpihan kegelisahan, bagaikan anak kecil yang hilang dari ibunya di tengah keramaian.

Keinginan bertemu pasangan jiwa, bukankah itu sebuah fitrah? Semua itu hadir tanpa disedari sebelumnya, hingga tanpa sedar telah menjadi sebahagian hidup yang tidak terpisah. Sebuah fitrah pula bahawa setiap wanita ingin menjadi seorang isteri dan ibu yang baik walaupun menjalani hidup dalam bersendirian. Dengan sentuhan kasih sayang dan belaiannya, akan terbentuk jiwa-jiwa yang soleh dan solehah.

Duhai sahabat...
Betapa mulianya kedudukan seorang wanita, apalagi bila ia seorang wanita beriman yang mampu membina dan menjaga keindahan cahaya Islam hingga memenuhi setiap sudut rumahtangganya.

Allah Subhanahu wa Taala pun telah menciptakan wanita dengan segala keistimewaannya, hamil, melahirkan, menyusui hingga ketaatan dan memenuhi hak-hak suaminya laksana arena jihad fii sabilillah.

Kerananya, yakinkah batin itu tiada goresan saat melihat pernikahan wanita lain di bawah umurnya?
Pernahkah kita menyaksikan kepedihan wanita yang berazam menjaga kehormatan diri hingga ia menemukan kekasih hati?
Dapatkah kita menggambarkan perasaannya yang merintih saat melihat kebahagiaan wanita lain melahirkan?
Atau, tidakkah kita melihat kilas tatapan sedih matanya ketika melihat aqiqah anak kita?

Letih...
Sungguh amat letih jiwa dan raga.
Sendiri mengayuh biduk kecil dengan rasa hampa,
tanpa tahu adakah belahan jiwa yang menunggu di sana.

Duhai Ukhti Sholehah...
Dalam Islam, kehidupan manusia bukan hanya untuk dunia fana ini sahsja, kerana masih ada akhirat. Memang, setiap manusia telah diciptakan berpasangan, namun tidak hanya dibatasi dunia fana ini sahaja. Seseorang yang belum bertemu pasangan jiwanya, insyaAllah akan dipertemukan di akhirat sana, selagi ia beriman dan bertaqwa serta sabar atas ujianNya.

Keresahan dan kegelisahan janganlah sampai merubah pandangan kepada Sang Pemilik Cinta. Kalaulah rasa itu selalu menghantui, usah kau lara sendiri, duhai ukhti. Taqarrublah kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Kembalikan segala urusan hanya kepadaNya, bukankah hanya Ia yang Maha Memberi dan Maha Pengasih. Ikhtiar, munajat serta untaian doa tiada habis-habisnya curahkanlah kepada Sang Pemilik Hati. Tidak usah membandingkan diri ini dengan wanita lain, kerana Allah Subhanahu Wa Taala pasti memberikan yang terbaik untuk setiap hambaNya, meski ia tidak menyedarinya.

Usahlah dirimu bersedih lalu menangis di penghujung malam kerana tidak kunjung selesai memikirkan siapa kiranya pasangan jiwa. Menangislah kerana airmata permohonan kepadaNya di setiap sujud dan keheningan pekat
malam.

Jadikan hidup ini selalu penuh dengan harapan baik kepada Sang Pemilik Jiwa.
Bersiap menghadapi putaran waktu, hingga setiap gerak langkah serta helaan nafas bernilai ibadah kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Tausyiahlah selalu hati dengan tarbiyah Ilahi hingga diri ini tidak sepi dalam kesendirian.

Bukankah kalau sudah saatnya tiba, jodoh tidak akan lari kemana. Kerana sejak ruh telah menyatu dengan jasad, siapa belahan jiwamu pun telah dituliskanNya.

Sabarlah Ukhti Solehah...
Bukankah mentari akan selalu menghiasi pagi dengan kemewahan sinar keemasannya.
Malam masih indah dengan sinar lembut rembulan yang dipagar bintang gemintang.
Kicauan bening burung malam pun selalu riang bercanda dikegelapan.
Senyumlah, laksana senyum mempesona butir embun pagi yang selalu setia menyapa.

Hapuslah airmata di pipi dan hilangkan lara di hati.
Terimalah semua sebagai sebahagian dari perjalanan hidup ini.
Dengan kebesaran hati dan jiwa, dirimu akan menemukan apa rahsia di balik titian kehidupan yang telah dijalani.
Hingga, kelak akan engkau rasakan tidak ada lagi riak kegelisahan dan keresahan ketika bersendiri.

InsyaAllah.

WaLlahu'alam Bisshawab.

Tuhan memberi kita dua kaki untuk berjalan..dua tangan untuk memegang...
Dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat...
Tetapi mengapa Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita?....
Kerana Tuhan telah memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untuk kita mencarinya....
Itulah namanya Cinta...

2 comments:

ismawani said...

sungguh menyentuh hati.. thanks sahabat

iZZah_wArDaTulAiN said...

same2....muhasabah untuk diri...